Monday, August 27, 2007

.:Coretan ilhamku:.

RASIAN

Dia baru pulang dari London dalam lawatan kerjanya selama seminggu sebagai delegasi negara. Tugas sebagai wakil rakyat menjadikan dia sering benar berulang alik keluar negara. Namun kepulangan kali ini, sengaja tidak diberitakan kepada isterinya tentang ketibaan tiga hari lebih awal daripada yang dijangka. Pemandu teksi yang membawanya memberhentikan teksi di hadapan pagar. Kelihatan rumahnya gelap. Hanya lampu di parkir kereta sahaja yang menyala. Namun terdapat sebuah kereta yang tidak dikenali terletak di bersebelahan keretanya. Dia masuk ke rumah dan memanjat satu persatu anak tangga untuk terus ke bilik tidur. Tubuhnya begitu letih-letai sekali. Kedengaran suara erangan halus diselang- seli dengan suara yang hampir-hampir dikenali. Tatkala dia melihat ke pintu bilik yang terkuak itu, didapati Asmah bermesra-mesra dengan pembantu peribadinya di atas katil kelamin mereka. Dia berang lantas diambilnya pistol peribadi, serta diacukan pistol kearah mereka. Ditarik laras picu. Dua das tembakan dilepaskan, kedua mangsa itu berlumuran dengan darah. Dia telah menjadi seorang pembunuh.

“Ah! ”. Tiba-tiba dia tersedar dari mimpi yang mengerikan. Peluh merenik di dahi. Dia cuba menyambung lenanya kembali . Namun gagal. Malam itu jiwanya kacau sekali. Mengiring ke kanan. Kemudian dia membalikkan badannya ke kiri. Dia merasa cukup resah dan gelisah kerana tidak dapat menyambung lenanya kembali. Fikirannya buntu, jiwanya kacau. Dia sedar tidurnya juga sudah lama berasingan bilik dengan isterinya. Kekadang seakan – akan jijik baginya untuk menyentuh isterinya itu. Dia lebih rela bersekedudukan dengan isteri sahabatnya sendiri ataupun dengan perempuan simpanan daripada isterinya yang halal .

Dia terimbas kembali. Beberapa hari yang lepas dia ada menerima panggilan yang berupa ugutan terhadapnya. Bahawa pemanggil tersebut akan mendedahkan skandal, penipuan wang rakyat yang pernah dia lakukan. Malah aset yang disimpan di luar negeri turut diketahui oleh pemanggil tersebut. Semenjak itu dirinya diganggui dan dihantui oleh mimpi-mimpi yang mengerikan .

Pagi itu dia seperti biasa ke pejabatnya walaupun hatinya diragut gelisah. Mimpi semalam kekadang menjengah fikiran. Tetapi tugasnya sebagai pemimpin masyarakat menyebabkan dia terpaksa mengenepikan hal-hal peribadi. Sebagai seorang wakil rakyat, dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah rakyat di bawah kawasannya. Pelbagai aduan diadukan. Pelbagai masalah terpaksa dia selesaikan. Namun sejak akhir-akhir ini, dia melihat seakan-akan rakyat sudah hilang kepercayaan pada dirinya.

Pagi itu, dia mendapat aduan bahawa ada perkara penting yang menyebabkan dia perlu pergi ke sebuah kampung. Selalunya tugasan-tugasan itu akan diserahkan kepada pembantunya sahaja. Namun kali ini, bagi menunjukkan keprihatinan dia sebagai seorang pemimpin, dia sendiri yang akan turun padang menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Dia perlukan kepercayaan penduduk kampung. Sementelahan dia terfikir bahawa pilihanraya semakin hampir. Dia perlu mendapat tempat di hati mereka. Namun entah apa silapnya. Kereta yang dipandu pancit. Sudah larut malam. Untuk ke bengkel yang terdekat memakan masa beberapa kilometer. Dia bersama-sama pemandunya singgah di sebuah masjid yang berdekatan. Mengambil keputusan untuk bermalam di situ. Itu sahaja pilihan yang ada. Mudah sahaja dirinya di buai lena di masjid tersebut berlalu bersama dengkuran yang kedengaran. Hilang rasa resah gelisah. Malah digantikan dengan ketenangan yang abadi. Tidak sepertimana malam-malam yang lepas di banglo mewahnya.. Takut bila malam menjelang tiba. Takut mimpi ngeri mengundang lagi, bertamu dalam tidurnya. Malam itu mimpi ngeri tidak muncul lagi. Malah dia dapat merasakan sungguh nikmat tidur sehinggalah keesokan paginya dikejutkan oleh suara azan. Seseorang menyuruh agar dia bangun solat subuh. Dia bersama pembantunya bergegas keluar masjid sebelum jemaah lain datang untuk solat subuh.

Sudah menjadi rutin harian baginya untuk membaca surat khabar ketika bersarapan pagi sebelum ke pejabat. Menjadi muka depan berita pagi itu, bahawa 'Presiden Mesir Mohammad Hosni Mubarak cuba ditembak ketika menghadiri persidangan di Addis Ababa. Kesan daripada peristiwa itu ramai pihak melahirkan rasa kesal atas tindakan mereka yang terlibat mengatur perancangan untuk membunuh wira negara arab itu.Pelbagai pihak cuba memainkan peranan menarik perhatian rakyat Mesir. Jelas peristiwa itu sedikit sebanyak menaikkan kembali kedudukan Mubarak di mata rakyat'.

“ Ya, tidak salah bagiku untuk melakukan sedemikian rupa. Ini juga salah satu strategi dalam politik juga. Mungkin dengan cara ini, aku dapat menawan kembali hati dan perhatian rakyat seterusnya mengukuh kembali kepercayaan mereka terhadapku. Ya! Perkara ini perlu ku laksanakan sebelum pilihanraya yang akan menjelang tidak lama lagi” Dia bermonolog sendirian. Dia tidak mahu kalah di pihak pembangkang. Ini kawasan jajahannya.

Malam itu dia ambil keputusan tidur di hotel sahaja. Tidak terfikir di benak fikiran untuk pulang kerumah. Dalam tidurnya dia bermimpi isterinya. Asmah datang untuk membunuhnya. Anaknya Amirul dan Amirah datang menyalahkannya kerana tidak menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya sebagai seorang ayah juga sebagai seorang suami yang bertangungjawab. Di luar rumah banglonya pula, berhimpun rakyat menyatakan tidak puashati selama dia memegang tampuk pemerintahan. Di sana sini kelihatan beberapa penduduk kampung mengangkat sepanduk, tidak kurang pula yang membaling botol, telur atau apa sahaja ke atas dirinya. Dia berlari dan terus berlari menyelamatkan diri. Dia tersedar. Mimpi buruk bertandang lagi. Apakah mimpi yang datang itu sebagai satu firasat sesuatu yang buruk akan berlaku ke atas dirinya.

Mulanya dia berjinak-jinak di dalam sebuah parti. Dia ingin mengislah dari dalam akan penyelewengan yang berlaku. Dia ingin menjadi penyelamat bangsa dan tanahair. Menjadi pemimpin agung yang bakal meruntuhkan tembok-tembok keganasan para pemimpin yang lampau. Namun sebaliknya yang berlaku. Semua yang mengaku sebagai penyelamat pada mulanya akan berakhir dengan perosak,pendengki, pengkhianat bangsa, penyeleweng duit rakyat, penipu besar,putar alam ,pembohong,pembelit dan penyangak.

Dia sudah mula terlibat dengan rasuah secara kecil-kecilan. Minuman air kencing syaitan yang pada mulanya janggal bagi dirinya sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan pula. Perempuan-perempuan cantik datang silih berganti menggoda. Iman yang setipis kulit bawang tidak mampu menjaga diri. Dia akhirnya tewas.Tompok-tompok noda dan dosa semakin hari semakin meliputi di jiwa. Dia sudah betah untuk melakukan kekejaman kepada penduduk kampong. Tanah-tanah penduduk kampong di ambil dengan cara yang paling halus, sehingga orang kampong yang buta dengan ilmu perundangan tidak bisa mengambil kembali hak mereka.Rakyat takut dengan momokan yang sengaja diwar-warkan. Namun yang paling tragis ketikamana dia terlibat dalam kes merogol salah seorang pelajar di sebuah universiti. Kes itu ditutup dengan alasan pelajar itu rela. Keluarga gadis tersebut gagal berjumpa dengan gadis tersebut dan ketikamana mereka menjumpai gadis tersebut sudahpun membunuh diri. Kes ditutup tanpa ada saksi. Malah keluarga mangsa juga tidak mampu membawa kes itu ke mahkamah dengan alasan kos pengguaman mahal ketika itu. Tiada siapa yang dapat membela nasib malang gadis dan keluaraganya. Kejahatannya tidak cukup setakat itu. Dia sering keluar negeri serta menyimpan aset yang banyak agar hidupnya senang hingga ke akhir hayat. Penyelewengan yang di lakukan olehnya begitu licik sekali. Jawatan sebagai wakil rakyat tetapi kehidupannya seolah-olah seorang jutawan.

Pagi itu, dia terjaga dari kondominium mewahnya. Kedengaran pekikan seolah-olah manusia sedang berdemonstrasi lagaknya. Dia berpaling ke sebelah. Kelihatan teman tidurnya malam semalam adalah isteri sahabatnya sendiri sedang lena tidur bersama dengkuran halus kedengaran. Segera dikejutkan wanita itu. Mereka masing-masing menjenguk ke tingkap yang disinari cahaya matahari yang menerobos masuk . Kelihatan anak dan isterinya berada di bawah bersama-sama dengan rakyat pimpinannya. Dia segera turun mendapatkan mereka.

Kelihatan beberapa sepanduk di julang-julang meminta dia meletakkan jawatan. Para mahasiswa meminta fail kes rogol dan bunuh seorang mahasiswi bertudung disiasat semula. Mereka juga melaungkan bahawa kes itu perlu dibuka dan dikaji semula. Sementara penduduk kampong memegang kain-kain rentang dengan meminta tanah-tanah yang menjadi kepunyaan mereka di pulangkan. Dia menoleh dipinggir jalan. Kelihatan saksi-saksi palsu yang digunakan semasa dalam mahkamah bagi beberapa kes yang dilakukan olehnya lebam-lebam dan berdarah.Polis dan pihak keselamatan pula cuba meredakan ketegangan yang berlaku. Tekanan yang dihadapi menyebabkan dia mengalami serangan jantung secara mendadak. Ini telah menyebabkan dia rebah secara tiba-tiba. Tidak sedarkan diri.

Ketika mana dia sedarkan diri, dia mendapati dirinya berada di sebuah sel penjara. Kedengaran derapan kaki. Kelihatan beberapa pegawai polis yang berpakaian seragam menuju ke arah sel yang dihuninya. Salah seorang yang berkemungkinan ketua polis bersuara.

“ Kamu Razlan bin Daud tahukah apa kesalahan kamu?”

“Tidak. aku tidak tahu kenapa aku dipenjarakan.”dia memandang tepat kearah pegawai polis tersebut.

“ Aku wakil rakyat yang dihormati. Pengaruhku kuat. Aku akan heret kamu semua ke mahkamah. Aku banyak duit. Sepastinya kamu semua akan berada di penjara ini.” Dia bersuara dengan begitu angkuh.

“ Razlan Bin Daud kamu dituduh atas kesalahan merogol dan membunuh Norshahrizat Abdul Jalil serta beberapa kes penipuan rasuah dan jenayah. Mahkamah dengan ini memerintahkan agar menjalankan hukuman ke atas kamu gantung mandatori. Hukuman berkuatkuasa pada jam 6.30pagi selepas subuh. Bertaubatlah kamu. Adakah apa-apa permintaan kamu?”

“ Saya tak mahu mati tuan. Tolonglah saya. Bolehkah saya membuat rayuan ” Dia bersuara lemah sekali. Lemah longlai lututnya. Dia bukan lagi Yang Berhormat Razlan Daud.

“ Segala permohonan rayuan kamu ditolak. Saya harap kamu akan tabah menghadapi hukuman esok pagi.”

“Aku tak mahu mati! Aku tak mahu mati!” terdengar jeritan diikuti dengan beberapa derapan tapak kaki meninggalkan ruang sel tersebut.

Pada malam yang hening, dia menghitung setiap detik dan masa. Takut, bimbang bercampur baur. Dia mengharapkan agar masa boleh berputar kembali. Takut menanti saat –saat selepas subuh. Matanya tidak boleh lena walau sepicing pun.Sebelum ini, setiap kali kehadiran subuh tidak pernah diendahkan. Tapi subuh esok, adalah segala-gala pengakhiran hidup buatnya. Buat pertama kali, selepas bertahun-tahun dia melupakan Khalik. Namun di malam hening itu, dia bersujud menghadap Tuhan. Memohon ampun atas setiap keterlanjurannya selama ini. Menangis teresak-esak umpama anak kecil yang ditinggalkan seorang ibu. Namun itulah subuh yang terakhir buatnya. Jam dinding kelihatan berdenting kuat sebanyak enam kali sehingga bergema di setiap sel penjara . Beberapa derapan kaki kedengaran. Dia pasrah.

Dia telah di bawa ke tempat bilik pengantungan. Diiringi oleh beberapa pegawai bertugas. Gari tangan dibuka. Kakinya diikat kemas oleh salah seorang pegawai. Manakala seorang pegawai lagi menutup matanya dengan kain yang berwarna hitam pekat. Kakinya mula memijak tapak empat persegi itu. Penarik penutup ditarik. Dia jatuh dan tidak bernyawa lagi.

Dia disiksa di alam kubur. Dicemeti berkali-kali kerana gagal melaksanakan tugas sebagai seorang pemimpin keluarga. Direjam dengan batu daripada batu api neraka kerana pernah berzina dengan isteri orang. Para rakyat yang pernah melantik dia sebagai pemimpin datang beramai-ramai melemparkan najis di kuburnya. Gambarnya yang selama ini diangung-agungkan telah dijijak dan dibaling di merata rata tempat. Rakyat merasa suatu kemenangan atas kematiannya.Bukanlah diratapi sepertimana pemimpin yang disayangi rakyat.
Ketikamana dia disiksa,kedengaran suatu suara..

"Setiap manusia , akan dipertangungjawabkan oleh apa yang telah dia lakukan selama ini. Tiba-tiba dia terjaga dari tidurnya. Termengah-mengah serasa berlari bermeter-meter lagaknya.

Tiba-tiba sahaja dia berasa sesuatu yang merentap tangkai jantung. Dia rebah. Dia mulai sedar apabila terasa renjisan air ke mukanya. Matanya terasa berpinar-pinar. Dia cuba untuk membuka mata walau agak payah untuk dia lakukan kali ini. Terdengar suara memanggil-manggilnya. Kedinginan air di dahi masih terasa lagi. Isteri yang begitu setia mengejutkannya. Kelihatan begitu mulus sekali sambil tersenyum bertelekung putih.

“Bang, mari kita berqiamullai sama bang. Asmah tunggu abang dalam bilik solat ye.”

Dalam solatnya kali ini, dia berasa bersyukur kerana telah di beri petunjuk. Mengakui dalam diri bahawa kejujuran dan keikhlasan serta jiwa dan pengorbanan yang besar daripada pimpinan agung bagi melahirkan bangsa yang agung dan negara yang agung.Dia tidak tersilap lagi. Rasian semalam telah memberi petanda. Subuh itu dia akan membuat keputusan samada mahu menerima tawaran menerajui pimpinan yang menjalankan pemerintahan berdasarkan undang-undang wadaie atau undang-undang yang berteraskan al-quran dan as-sunnah. Selama ini dia tersepit di persimpangan dilema.Esok menjanjikan sebuah kepastian. Dia akan menolak salah satu tawaran pihak dan akan berada di pihak yang satu lagi.

Keesokan paginya dia terkejut melihat berita muka hadapan sebuah suratkhabar.Terpampang berita penggantungan bekas Presiden Iraq hasil komplot Amerika yang senggaja ingin memberitahu dunia bahawa mereka berjaya membalas dendam atas kematian rakyat Iraq. Sedangkan hakikatnya mereka sengaja ingin menutup kejahatan mereka yang lebih ganas daripada itu, dan membunuh salah seorang pemimpin islam. Itulah undang-undang wadaie, undang-undang ciptaan manusia. Kedengaran dari bilik anak tunggalnya berkumandang nasyid dendangan hijjaz bertajuk pemimpin adil .

::WaNiTa iBaRat BuNga::

Peliharalah akhlakmu wahai wanita..